Tindakan seorang mahasiswa menurunkan bendera Datuk Seri Najib Razak sewaktu mahasiswa ramai berhimpun menghantar memorandum menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti kini mendapat perhatian meluas.
Namun isu pokoknya seharusnya tetap pemansuhan AUKU.
Sebagaimana yang telah ditegaskan KEADILAN minggu lepas dan di dalam Sidang Meja Bulat Pindaan AUKU yang saya hadiri minggu lepas, cadangan Najib untuk meminda Seksyen 15 AUKU bukanlah penyelesaiannya.
Seksyen 15 hanya merangkumi kebebasan berpersatuan mahasiswa tetapi kongkongan terhadap kebebasan akademik dan otonomi universiti meliputi hampir keseluruhan AUKU.
Pendirian menyokong pemansuhan AUKU ini juga pendirian majoriti peserta Sidang Meja Bulat yang dihadiri ahli akademik, NGO serta mahasiswa.
Mahasiswa telah pun memberi alternatif kepada AUKU iaitu ‘Magna Carta’ pada tahun 2008. Kita juga boleh menimbang perundangan negara sedia ada sebelum pengenalan AUKU pada 1970an ataupun perundangan luar yang relevan.
KEADILAN telah menyerahkan kesemua dokumen ini termasuk Magna Carta serta pendirian Pakatan Rakyat di dalam Buku Jingga mengenai pendidikan tinggi kepada Timbalan Menteri II Pengajian Tinggi Dato’ Saifuddin Abdullah dalam Sidang Meja Bulat tersebut.
Reaksi terbaru kepada penurunan bendera ini melihat masih dibelenggu budaya takut yang lapuk sedangkan majoriti rakyat Malaysia sudahpun maju ke hadapan.