Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar hari ini mengutuk tindakan provokasi murahan pihak tertentu ketika operasi perobohan Flat PKNS di Kampung Kerinci semalam yang menyaksikan aktivis pelajar Adam Adli ditumbuk.
“Inilah politik samseng dan politik tidak matang yang dipertonjol Umno khususnya di Lembah Pantai,” katanya.
Dalam kejadian semalam, ketika rundingan 34 penduduk dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mahu merobohkan kediaman mereka berlangsung, Adam Adli ditumbuk.
Adam yang hadir bersama seorang lagi aktivis pelajar Ekhsan Bukhari mengalami kecederaan di bahagian bibir dan mata.
Mengulas rundingan semalam, Nurul berkata 34 orang penduduk tersebut bukan tidak mahu berpindah, tetapi sehingga kini status perpindahan mereka ke perumahan PPR tidak diputuskan oleh jabatan perumahan DBKL.
“Saya tentu mengalu-alukan sebarang usaha untuk membangunkan kawasan Kampung Kerinci, tetapi aturan tatacara serta prosedur pembangunan harus mangikuti undang-undang dan menghormati pemilik tanah sedia ada.
“Dalam hal ini kaedah pengambilan tanah untuk pembangunan yang nyata melanggar peraturan sedia ada bilamana referendum dan bukan kaedah persetujuan 100 peratus pemilik menjadi penentu pembangunan,” jelasnya.