Quantcast
Channel: Planet Malaysia
Viewing all articles
Browse latest Browse all 15921

Nik Aziz: Tabung Serambi Mekah – Memupuk Budaya Bersedekah

$
0
0



“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan ahli-ahli ugama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (ugama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

– Surah al-Taubah, ayat 34

Kesyukuran yang tidak terhingga dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana kutipan derma Tabung Serambi Mekah kali ke-21 bagi tahun 1432 Hijrah telah berjaya diadakan. Ia sangat besar ertinya ketika usia Tabung Serambi Mekah yang telah mencapai usia dua dekad, seusia dengan Kerajaan Negeri mentadbir dengan dasar Membangun Bersama Islam.
Pada majlis tersebut, saya mengambil kesempatan berkongsi pandangan dan ingatan di sebalik kepentingan harta di sisi kehidupan manusia pada sepanjang zaman. Justeru harta merupakan salah satu keperluan asas dan Allah SWT menyediakan harta adalah khusus untuk menjamin kepentingan manusia supaya boleh hidup dengan baik dan sempurna.

Harta yang diciptakan sebagai alat untuk kehidupan tidak seharusnya diselewengkan oleh pemiliknya atau sesiapa sahaja. Ia seharusnya diurus menurut landasan syarak kerana di dalam Al-Qur’an ada mencela ke atas mereka yang sayangkan harta tetapi bersifat kedekut, bakhil, membazir, boros, mementingkan diri sendiri, tidak mengeluarkan zakat, dan memiliki mahupun membelanjakan harta secara haram.

Oleh itu, pengurusan harta yang selari dengan Islam ialah sedia menyumbangkan sebahagian (sedikit atau pun banyak) daripada harta sebagai sedekah di jalan Allah SWT. Ini kerana harta itu pada hakikatnya adalah milik Allah SWT tetapi dipinjamkan kepada manusia melalui pelbagai kaedah agar manusia mengurusnya sesuai dengan kehendak syarak. Ini ditegaskan melalui firman Allah SWT :


dan berilah kepada mereka dari harta Allah yang telah dikurniakan kepada kamu.”

Surah an-Nur, ayat 33.

Di sini sengaja Allah SWT menggunakan perkataan مال الله yang bermaksud harta Allah bagi menjelaskan bahawa harta yang dimiliki oleh manusia hakikatnya merupakan milik Allah SWT. Meskipun secara zahir harta itu seolah-olah manusia yang memilikinya, namun manusia hanyalah mengurustadbir sahaja, sedangkan pemilik mutlak adalah Allah SWT.

Justeru pendirian Kerajaan Negeri Kelantan adalah untuk menggalakkan rakyat mengamalkan budaya bersedekah dan memanfaatkan harta ke arah sedia membantu Kerajaan Negeri Kelantan menerusi Tabung Serambi Mekah sebagai saluran. Sementara Kerajaan Negeri akan menyalurkan secara beramanah kepada rakyat atau pihak yang berhak dibantu. Prinsip dan amalan ini telah berlaku sejak Tabung ini diwujudkan pada tahun 1991 lagi.

Tabung ini hakikatnya sedbagai saluran menjayakan matlamat untuk membangunkan individu dan orang ramai khasnya mereka yang miskin lagi daif, ditimpa malapetaka, terkena bencana alam, menghidap pelbagai penyakit kronik, dan pelbagai permasalahan hidup. Di samping Tabung ini juga sedia digunakan untuk menampung kos pembinaan prasarana demi kesejahteraan rakyat.

Hakikatnya, fitrah menderma sudah wujud dalam diri manusia itu sendiri. kita dapati ada kecenderungan dermawan daripada kalangan jutawan atau millionaire yang mendermakan harta kekayaan mereka bagi tujuan kebajikan. Justeru Tabung Serambi Mekah Negeri Kelantan tidak ketinggalan mendapat sokongan daripada kalangan mereka yang kaya atau jutawan ini. Mereka adalah segolongan yang menerima nikmat Allah yang bersikap pemurah lagi dermawan.

Alhamdulillah, penyertaan golongan dermawan ini merupakan satu bukti bahawa sifat menderma dan membantu untuk menyelesaikan kesusahan orang lain sudah wujud dalam diri manusia secara semulajadi. Jika mereka yang tidak bergama Islam pun boleh menunjukkan sifat menderma yang begitu hebat, maka lebih patutlah bagi seorang Muslim yang dijanjikan ganjaran sedekah sebanyak 700 kali ganda dan pelbagai ganjaran yang lain untuk berebut-rebut menderma dan menyalurkan sumbangan.

Perlulah diketahui bahawa agama Islam sebenar amat dekat dengan dermawan. Ia dirujuk sebagai amalan sedekah; baik yang bersifat wajib seperti zakat mahupun yang bersifat sukarela seperti sedekah atau wakaf. Apa yang penting, ia memberi kesan kepada kebaikan ummah, lebih-lebih lagi sedekah sukarela adalah lebih memberi kesan berbanding sedekah wajib kerana sedekah wajib (zakat) merupakan satu levi minima yang dikenakan ke atas harta atau pemilikan kaum Muslimin. Apapun ia bergantung kepada keikhlasan seseorang.

Berbekalkan kesedaran bersedekah itu, maka Tabung Serambi Mekah sejak ditubuhkan sehingga sekarang, tidak putus-putus menerima sumbangan dari pelbagai pihak. Misalnya sepanjang tahun 2010 sahaja, sebanyak RM4.8 juta diterima sumbangan dan ini merupakan satu peningkatan berbanding tahun 2009 sebanyak RM3.35 juta. Ini merupakan satu tahap keyakinan para penyumbang terhadap keupayaan (akauntabiliti) urustadbir kewangan Kerajaan Negeri Kelantan yang telus dan sifar rasuah.

Ia suatau keberkatan daripada Allah yang telah meneguhkan hati dan jiwa para pegawai tinggi dan pimpinan kerajaan negeri Kelantan dari terlibat dalam sebarang bentuk penyelewengan. Ia hakikat kesan dasar Membangun Bersama Islam yang menjadi prinsip pentadbiran Negeri Kelantan. Ia membentuk pendinding dari melakukan perbuatan pecah amanah dan khianat, dan ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah iman yang mantap dan keyakinan atas setiap amalan itu akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Semoga usaha mengumpul sumbangan daripada semua pihak dapat diteruskan saban tahun. Lantaran amalan menderma dan beramal jariah menerusi Tabung ini dapat dilakukan dengan seikhlas hati. Setinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pihak yang mencurahkan  usaha bagi memastikan budaya bersedekah terus subur dan Akaun Amanah Kebajikan Darulnaim – Tabung Serambi Mekah dapat terus menjadi saluran berkebajikan untuk rakyat Negeri Kelantan.

* PETIKAN
BERDASARKAN UCAPAN DI
MAJLIS SEMPENA PELANCARAN KUTIPAN DERMA TABUNG SERAMBI MEKAH KALI KE-21 PADA 21 ZULHIJJAH 1432 H/17 NOVEMBER 2011 (KHAMIS),
JAM 10.15 PAGI, DI DEWAN BESAR BALAI ISLAM, LUNDANG, KOTA BHARU KELANTAN.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 15921

Trending Articles



<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>