Petaling Jaya, Selangor, 4 Mei 2012. Tindakan akhbar Utusan menggunakan kaedah fitnah seks
ke atas YB Azmin Ali Timbalan Presiden KEADILAN yang sedang berlaku sekarang ini adalah
gambaran nyata betapa bengkrapnya tahap moral dan maruah organisasi dan parti yang
didokongnya – UMNO. Ia juga mengesahkan kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa UMNO kini
sedang ketandusan ahli bijak pandai dan golongan profesional sebagai penerus kepimpinan dan
perjuangannya.
Apa yang dilakukan ini, hanyalah penerusan kepada budaya tahyul, liar dan lucah yang menjadi
anutan agensi tersebut yang telah diamalkan sekian lama melalui pelbagai penerbitannya.
Strategi yang sama telahpun digunakan kepada Dato Seri Anwar Ibrahim dalam beberapa siri
fitnah seksual sejak 1998 lagi, selepas gagal mencari isu lain yang boleh menjatuhkan beliau.
Namun, usaha yang dilakukan untuk memudarkan sinar kepimpinan tokoh ini tetap gagal
berterusan kerana rakyat Malaysia nyata lebih bijaksana dalam menilai hakikat dan kebenaran.
Adalah jelas, UMNO dan semua media pendokongnya tidak mempedulikan apakah implikasinya
kepada generasi muda yang masih bersih dan belum mengerti apa-apa apabila fitnah seperti ini
disebarkan secara terbuka dan berleluasa.
KEADILAN berpendirian bahawa dengan melihat data peningkatan pelbagai gejala keruntuhan
moral yang begitu ketara sejak dekad mutakhir ini – seperti zina, gay, lesbian, pembuangan
bayi dan kelahiran anak luar nikah – nyata sekali ia adalah kesan buruk dari gejala fitnah
seksual yang diamalkan ini. Hakikatnya, UMNO dan Utusan telah melakukan satu jenayah
besar kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya dalam hal ini dan mereka perlu
bertanggungjawab keatasnya.
KEADILAN juga melihat bahawa tindakan akhbar ini adalah manifestasi dari desperado dan
tekanan tidak terkawal yang dihadapi UMNO dalam menghadapi kebangkitan rakyat melalui
Bersih 3.0 dan letusan isu rasuah RM3 bilion dalam isu pembelian scorpene yang sedang hangat
diperkatakan rakyat sekarang ini.
Dr Muhammad Nur Manuty
Ketua Penerangan